15 May, 2011

SELAMAT HARI GURU

Guru & Pahala yang Berterusan
بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang…
Letak nota di tepi, check jam di handphone. Tertera di skrin Sony Ericsson tersayang digit 0136, patutlah ngantuk! Patutlah baca nota Instrumental Analytical Chem tu dah macam baca sajak Shakespeare (tak pahamla…). Tiba-tiba ja teringat pada diskusi dengan Safwan dalam YM! tadi tentang bidang pendidikan ni.
Kredit sikit untuk Safwan. Sebagai salah seorang teman yang bakal menceburkan diri dalam bidang pendidikan selepas pulang dari New Zealand kelak, Safwan sering juga membuka topik ini untuk dibincangkan dan masing-masing mula berkongsi pendapat. Semalam entah macam mana boleh terbuka isu tentang guru sekolah rendah.
Lebih Banyak Kebaikan Menjadi Guru Sekolah Menengah: Betulkah?
Selama ini ana sering terdengar pendapat masyarakat terutama daripada kalangan guru sendiri bahawa menjadi guru sekolah menengah lebih banyak kebaikannya berbanding guru sekolah rendah. Apatah lagi jika guru sekolah rendah itu ialah produk maktab kerana gaji keluaran maktab adalah kurang sedikit berbanding graduan universiti. Isu lain yang sering dibangkitkan ialah berkenaan peluang kenaikan pangkat.
Namun sebagai Muslim kita sepatutnya tidak memisahkan soal ibadat daripada sesebuah pekerjaan. Mengajar dan membimbing juga sebuah ibadat yang dikira mulia (andainya dimulai dengan niat yang betul), bukan? Maka jika diperhatikan daripada sudut ini kita akan sedar bahawa guru sekolah rendah sebenarnya lebih banyak kelebihan mereka berbanding guru pendidikan sekunder.





Jika dirujuk kepada Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR), salah satu penekanan yang diterapkan dalam pendidikan rendah ialah tiga kemahiran asas pendidikan iaitu membaca, menulis dan mengira. Menjadi tugas guru-guru yang mengajar tahun 1 dan tahun 2 untuk memperkenalkan ABC dan 123 kepada murid-murid. Begitu juga ustaz dan ustazah perlu memberikan asas Al-Quran dan Jawi.
Daripada Abu Hurairah, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Apabila seorang mati, putuslah amalannya kecuali tiga perkara, (iaitu): Sedekah jariah, ilmu yang memberi faedah kepada orang lain atau anak yang salih yang berdoa untuknya.” (Riwayat Muslim dan lain-lain termasuk Imam Ahmad. Mustika Hadis 3:312)
Berdasarkan hadis di atas, nyatalah bahawa sesuatu ilmu (yang bermanfaat) itu memberikan pahala kepada Muslim yang menyampaikannya kepada orang lain. Malah, pahalanya akan berterusan selama muridnya mengamalkannya dan jika murid tersebut menyebarkan pula kepada orang lain.
Kita kaitkan kembali maksud hadis tersebut dengan topik diskusi. ABC, 123 dan alif ba ta, ketiga-tiga yang ana nyatakan ini ialah asas kepada ilmu-ilmu lain. Tanpa asas ini, mustahil murid dapat mempelajari dan mengamalkan ilmu baru. Begitu juga dengan asas sahsiah yang diterapkan dalam jiwa kanak-kanak. Asas yang kukuh inilah sebenarnya yang membantu guru sekolah menengah untuk mengawal dan mengindahkan lagi disiplin dalam diri pelajar.
Maka jelaslah di sini bahawa ganjaran yang diperolehi guru sekolah rendah adalah lebih tinggi berbanding guru sekolah menengah. Hakikat ini pun hanya ana sedari setelah seorang ustazah menyatakannya ketika ana tingkatan lima.
Itulah, tiada bezanya antara guru sekolah menengah mahupun rendah. Kedua-duanya mempunyai pro dan kontranya yang tersendiri. Kedua-duanya juga mempunyai kemanisan dan kepahitan masing-masing yang hanya individu bergelar pendidik yang dapat merasakannya.

Mencabarkah Tugas Seorang Guru?
Sedikit lagi mengenai dunia pendidikan. Tidak ana nafikan bahawa pekerjaan guru ini kelihatannya begitu mudah untuk dilaksanakan. Ana juga pernah punyai perspektif yang sama sebelum menjejakkan kaki ke universiti pendidikan ini. Namun hakikat sesuatu kejadian itu tidak akan dimengerti sepenuhnya selagi kita sendiri tidak berada di tempatnya, sama seperti nikmat perjuangan yang hanya dirasakan sepenuhnya oleh para pejuang.
Mudah untuk mengajar namun adakah semudah itu juga untuk seorang guru memastikan ilmu yang disampaikan berjaya difahami sepenuhnya? Berdepan dengan pelajar yang tidak faham apa yang telah diajar, rasanya seolah-olah kita bercakap Bahasa Arab di hadapan seorang Mexico. Tambah menyesakkan perasaan setelah pelbagai pendekatan digunakan, wajah “blur” masih terpampang di hadapan mata. Macam nak tumbuk bantal pun ada, geram!
Mudah jugakah mendidik seorang pelajar supaya mengenal Pencipta dan beramal dengan ajaran-Nya atau sekurang-kurangnya menjadi seorang individu yang berakhlak mulia? Bagaimana pula dengan “tugas tambahan” untuk memotivasi dan mendengar masalah pelajar? Bisakah individu yang tidak punyai ilmu asas yang mencukupi tentang pendidikan untuk bergelar GURU a.k.a CEKGU a.k.a USTAZAH a.k.a TEACHER?





Percayalah, menjadi guru memang sangat, terlalu dan amatlah mudah andainya antum bercita-cita untuk hanya makan gaji buta. Dalam kata lainnya, mudah untuk menjadi cikgu jika antum memegang prinsip “lantaklah budak tu faham ke tak apa yang aku ajar, janji gaji aku jalan” dan “biarlah sikap dia macam hantu pun, yang penting gaji aku tiap-tiap bulan banked-in”.
Sejujurnya, berada di penghujung semester enam membuatkan ana semakin tidak yakin untuk mengajar. Semua ilmu pendidikan yang pernah ana pelajari selama tiga tahun di sini membuatkan ana sedar bahawa terlalu banyak yang perlu diketahui dan diamalkan oleh seorang guru dalam satu waktu.

Maka sekarang mengertilah ana mengapa para guru tersinggung apabila masyarakat mengatakan bahawa cikgu adalah pekerjaan yang tidak mengenal kesusahan.